PEMASYHURAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYUPengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia ke-5) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.
PENGISYTIHARAANMalam MerdekaSebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.
Upacara PengisytiharanPada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.
Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.
Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.
Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.
Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.
Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan
Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.
TETAMU TERHORMATApabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.
Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:
Raja dan Permaisuri Siam
Putera dan Puteri Mahkota Jepun
Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
U Nu, Perdana Menteri Burma
Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (mewakili Presiden Amerika Syarikat)
Duta Australia, Kanada dan New Zealand
Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu).
Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.KANDUNGAN PEMASYHURAN KEMERDEKAAN
دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.
بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.
دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.
دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.
دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.
دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.
دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.
دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.
دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.
مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وا تاءالا اكن ككال منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا.
BENDERA MALAYSIABendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama bagi Persekutuan (Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
SEJARAHPermulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.
Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.
Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
PENDAPAT UMUM DIAMBIL KIRAMajlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.
JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.
Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.
Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.
REKA BENTUL TERAKHIR PILIHSetelah diubahsuai beberapa kali, rekabentuk tersebut telah teliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."REKA BENTUL DILULUSKANReka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.
Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.
PEMBENTUKAN MALAYSIAPercantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
SINGAPURA BERPISAHSungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
JALUR GEMILANGSelama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.
Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
TANGGAL 31 (LAGU)
LIRIK LAGUTanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka